PENGENALAN
Barisan Kepimpinan IKMAL Sesi 2020-2023 menerima cadangan dan pandangan dari ahli IKMAL dan alumni SMAWP/SMAP tentang betapa perlunya IKMAL menggunakan kepakaran dari para ilmuwan di kalangan mantan pelajar di dalam menyampaikan dan menyebar luaskan ilmu pengetahuan kepada khalayak umum, apatah lagi kepada adik-adik alumni yang masih bersekolah dan juga semua ahli IKMAL dan alumni SMAWP/SMAP keseluruhannya termasuk ahli keluarga mereka dan orang ramai, sama ada pelajar di sekolah atau di pusat pengajian tinggi, atau mereka yang sedang bekerja dan berniaga, untuk menambah ilmu dan meningkatkan kefahaman bagi mempersiapkan diri untuk kejayaan di akhirat, tanpa mengenepikan aspek kejayaan di dunia.
.
.
LATAR BELAKANG
Sehubungan itu, IKMAL memperhalusi cadangan dan pandangan awal tersebut, mengadakan perbincangan lanjut di dalam beberapa siri mesyuarat exco, diikuti sesi Gerak Kerja IKMAL pada 26 Januari 2022 lalu, dan alhamdulillah hasilnya kita dapat memperincikan rangka kerja dan ruang lingkup program bagi dapat memenuhi keperluan khalayak yang kelihatan semakin mendesak, di samping mengemukakan program relevan dengan suasana dan situasi, dan bersifat adaptif agar boleh dilaksana dan dihayatkan secara praktikal.
Justeru, lahirlah program yang kita namakan sebagai InSPIRA ini, dengan memberi penumpuan kepada aspek INSAN, SAHSIAH, POTENSI, ILTIZAM, RELEVAN dan ADAPTIF.
.
.
TUJUAN
IKMAL berhasrat untuk menawarkan sebuah program yang menyentuh isu ASAS dan DASAR, mengisi ruang lompong yang ada di dalam industri latihan dan pembangunan (training and development industry), dan memberi nilai tambah kepada peserta yang mengikuti program InSPIRA ini untuk berjaya di akhirat, tanpa mengenepikan aspek kejayaan di dunia.
.
.
ASPIRASI PROGRAM
Secara ringkasnya program InSPIRA ini adalah untuk MEMBINA dan MEMPERKUKUHKAN setiap kita supaya dapat MENZAHIRKAN diri sebagai anak soleh/solehah, merangkumi aspek-aspek berikut:
INSAN: berkenaan Model Kejadian Insan (MKI) dan Model Realiti (MR) yang berasaskan kepada sains fizik kuantum.
SAHSIAH: berkenaan pembangunan dan pembentukan sahsiah diri yang berpandukan kepada MKI dan MR.
POTENSI: berkenaan keupayaan dan kebolehan diri yang berlandaskan kepada MKI dan MR.
ILTIZAM: berkenaan azam, tekad, hasrat, komitmen, dedikasi dan keterlibatan secara bersungguh-sungguh di dalam melaksanakan sesuatu perkara.
RELEVAN: berkenaan bidang-bidang yang berkaitan dan bersangkutan untuk diri sendiri, hidup bermakna, berjaya dan berjasa di dalam masyarakat setempat.
ADAPTIF: berkenaan ruang lingkup kehidupan sebagai diri yang mampu menyesuaikan diri di dalam apa jua suasana dan situasi.

.
.
JEMPUTAN DAN SERUAN
IKMAL mengalu-alukan, menjemput, menyeru dan mempelawa semua ahli IKMAL dan alumni SMAWP/SMAP yang berkebolehan dan mempunyai kepakaran di dalam mana-mana bidang seperti yang ditunjukkan di dalam gambarajah di atas untuk turut sama terlibat sebagai TENAGA PENGGERAK (TP) di dalam program InSPIRA ini dan mengemukakan program/modul cadangan masing-masing melalui borang atas talian INI.
Pada masa yang sama, IKMAL mengalu-alukan penglibatan ibubapa/penjaga pelajar, guru-guru dan kakitangan SMAP untuk sama-sama membantu memberi input yang berkaitan sebagai tanda kebersamaan kita menjayakan program ini.
Hubungi ikmal.training@gmail.com untuk sebarang maklumat lanjut berkaitan program InSPIRA ini.
.
.