Rentetan dari peristiwa kita dikejutkan dengan pengumuman Syawal tahun 1443H yang dikatakan “mengejut”, IKMAL mengambil peluang ini bagi membuka ruang menerokai sebahagian kecil dari cabang ilmu falak iaitu cerapan hilal (melihat anak bulan). Permohonan IKMAL dengan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (melalui Ustaz Jamali Mohd Adnan STPM’86, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan) untuk terlibat dalam majlis cerapan rasmi diluluskan dan IKMAL ditawarkan lima (5) tempat untuk hadir dan mengikuti perjalanan proses cerapan hilal ini bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada hari Rabu 29 Jun 2022 bermula jam 5.45 petang.
Disebut sebagai Majlis Cerapan Rasmi Hilal kerana ini adalah satu proses melihat anak bulan dari 29 tempat terpilih seluruh Malaysia, kemudian Ketua Rombongan akan melaporkan kepada SS Mufti yang kemudian akan memanjangkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, yang kemudiannya akan mengumumkan tarikh 1 haribulan Zulhijjah, seterusnya tarikh hari raya Aidil Adha bagi tahun 1443H ini.
Majlis dimulakan pada jam 6 petang dengan bacaan Yaasin, diikuti ucapan ringkas dari SS Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan. Seterusnya ada sesi taklimat dan penerangan ringkas berkenaan tatacara dan kaedah melihat anak bulan. Menjelang jam 7 malam, semua yang terlibat sudah berada di kedudukan lengkap dengan peralatan yang disediakan, dan mula memerhati dan melihat kedudukan matahari sehingga jam 7.25 malam matahari tenggelam dan masuknya waktu Maghrib. Hilal dicerap dalam tempoh 16 minit sehingga jam 7.41 malam dan dengan keadaan cuaca yang berawan, peluang melihat dan untuk nampak hilal adalah amat tipis sekali. Usai laporan oleh SS Timbalan Mudti kepada SS Mufti melalui panggilan telefon, semua yang terlibat menunaikan solat Maghrib berjemaah dan diikuti dengan jamuan makan malam.



